BERITA TERKINI

SURAT PEMBERITAHUAN
JABATAN BURUH
KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
BILANGAN: 01/2012

Kepada:
Semua Pengurus-Pengurus dan para Majikan
bagi Syarikat-Syarikat, Firma-Firma,
Gedung-Gedung Perniagaan,
Agensi-Agensi Tenaga Kerja,
Individu-individu persendirian yang menguruskan
tenaga kerja asing serta orang ramai
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Per: PERINTAH AGENSI PEKERJAAN 2004

Dengan hormat sukacita menyusuli Surat Pemberitahuan Jabatan Buruh Bilangan 04/2011 bertarikh 05 Muharram, 1433 / 01 Disember, 2011 mengenai dengan perlaksanaan sepenuhnya Perintah Agensi Pekerjaan, 2004 yang bermula pada 01 Januari, 2012 lalu.

Susulan kepada beberapa isu yang ditimbulkan oleh orang ramai dan individu- individu persendirian yang menguruskan tenaga kerja asing sebelum perlaksanaan Perintah Agensi Pekerjaan, 2004 ini di media massa dan juga dalam perjumpaan yang diadakan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri khususnya mengenai dengan kadar harga pengurusan pengambilan pekerja asing yang dikenakan oleh agensi-agensi pekerjaan yang dikatakan terlalu mahal dan perlu dibuat pengawalan; dan juga isu jaminan wang tunai (security cash deposit) yang dikenakan kepada agensi-agensi pekerjaan yang terlalu tinggi dan mendatangkan kesulitan kepada individu-individu persendirian yang mengendalikan tenaga pekerja asing untuk memenuhinya.

Isu-isu yang ditimbulkan ini telah pun diteliti dan diperbincangkan diantara Jabatan Buruh dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan berikut adalah ketetapan, cadangan penyelesaian serta penjelasan mengenainya:-

1. KADAR HARGA PENGURUSAN TENAGA ASING YANG TERLALU MAHAL DAN PERLU DIBUAT PENGAWALANNYA (STANDARDIZED PRICE). .

Jabatan Buruh mengambil perhatian mengenai dengan keperluan untuk mengadakan pengawalan ke atas harga-harga bayaran yang dikenakan oleh agensi-agensi pekerjaan kepada orang ramai dan majikan. Walaubagaimanapun, oleh kerana Perintah Agensi Pekerjaan 2004 ini baru sahaja dikuatkuasakan sepenuhnya adalah terlalu sukar untuk menentukan / menetapkan harga yang berpatutan serta bersesuaian bagi setiap jenis perkhidmatan yang disediakan oleh agensi pekerjaan pada peringkat awal ini. Jabatan Buruh perlulah terlebih dahulu mendapatkan maklumat lanjut serta kajian-kajian tertentu, antaranya:

i). Bayaran-bayaran perkhidmatan yang sedia ada yang ditetapkan oleh Kerajaan seperti visa, pemeriksaan kesihatan dan X-ray, kad pengenalan pintar dan lain-lain;

ii). Bayaran bagi kos operasi seperti sewa pejabat, gaji kakitangan yang diambil bekerja, perbelanjaan memberikan latihan kepada pekerja asing, serta kos penginapan dan makan / minum pekerja asing yang perlu ditanggung sebelum mereka diserahkan kepada majikan;

iii). Bayaran keseluruhan yang dikenakan oleh agensi-agensi di luar negara dan juga di dalam negara pada masa ini, dan pada tahun-tahun sebelumnya. Ini termasuklah kos perbelanjaan mendatangkan pekerja sebelum sampai di negara ini seperti tiket penerbangan, tempat penginapan dan sebagainya; dan

iv). Mengenalpasti permintaan dan pembekalan tenaga asing yang diambil berkhidmat pada tahun 2011 dan pada bulan-bulan yang akan datang ini.

Kajian ini memerlukan masa sekurang-kurangnya 12 bulan.

Untuk kemudahan dan keselesaan orang ramai dan para majikan, di peringkat awal ini Jabatan Buruh akan meminta semua agensi-agensi pekerjaan yang sudah berlesen untuk memaklumkan secara terbuka serta mempamerkan harga-harga perkhidmatan yang dikenakan secara package dan juga mengikut setiap jenis perkhidmatan yang disediakan. Orang ramai dan para majikan adalah dengan ini dinasihatkan supaya lebih bijak dalam memilih agensi-agensi pekerjaan yang akan digunakan dengan membuat perbandingan harga serta mengambilkira perkhidmatan yang diberikan dengan harga yang dikenakan mengikut kemampuan masing-masing.

2. KAEDAH BAGI INDIVIDU-INDIVIDU PERSENDIRIAN YANG BERGIAT DALAM MENGURUSKAN TENAGA KERJA SEBELUM INI UNTUK TERUS DAPAT MENJALANKAN KEGIATAN BERKENAAN. .

Jabatan Buruh sukacita menarik perhatian bahawa Perintah Agensi Pekerjaan 2004 tidaklah menghalang individu-individu persendirian yang sebelum ini bergiat dalam menjalankan pengurusan tenaga asing untuk meneruskan kegiatan sedemikian. Walaubagaimanapun kegiatan yang dijalankan itu perlulah dibuat secara sah dan teratur mengikut kehendak yang digariskan di dalam Perintah Agensi Pekerjaan 2004. Terdapat 4 kaedah dalam mana individu persendirian yang berkenaan itu dapat meneruskan kegiatan termasuklah 2 kaedah yang telah pun disampaikan melalui Surat Pemberitahuan Jabatan Buruh bilangan 04/2011 lalu:
i). Kaedah Pertama : Individu-individu yang bergiat dalam urusan tenaga kerja asing sebelum ini untuk menubuhkan syarikat agensi pekerjaan mereka sendiri dan seterusnya memohonkan lesen bagi menjalankan kegiatan agensi pekerjaan sepertimana jua permohonan-permohonan yang lain. Keutamaan akan diberikan kepada mereka untuk mendapatkan lesen asalkan sahaja memenuhi peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Perintah Agensi Pekerjaan 2004.
ii). Kaedah Kedua : Bagi individu-individu yang kurang berkemampuan untuk menubuhkan syarikat di bawah kaedah pertama, mereka bolehlah pula menjadi tenaga kerja (pekerja) kepada agensi-agensi pekerjaan yang sudah berlesen. Melalui kaedah ini, individu-individu berkenaan tidak akan hilang sumber pendapatan.

iii). Kaedah Ketiga : Individu-individu yang kurang berkemampuan terutama dari segi pembayaran jaminan wang tunai (security cash deposit) juga mempunyai pilihan untuk menubuhkan syarikat secara bergabung dengan individu-individu lain yang juga menguruskan tenaga kerja asing sebelum ini. Dengan penubuhan syarikat secara bergabung ini setentunya boleh meringankan individu-individu berkenaan dalam membuat pembayaran jaminan wang tunai yang dikenakan bagi kegiatan agensi pekerjaan. Walaubagaimanapun, penubuhan syarikat secara bergabung ini tertakluklah jua kepada kelulusan daripada Pendaftar-Pendaftar Syarikat (Registrar of Companies).

iv). Kaedah Keempat : Individu-individu persendirian yang masih berhasrat untuk menubuhkan syarikat agensi pekerjaan sendiri tanpa bergabung tetapi kurang berkeupayaan bagi pembayaran jaminan wang tunai yang dikenakan adalah dibolehkan untuk membayar jaminan wang tunai berkenaan secara beransur-ansur melalui pertimbangan khas. Pertimbangan khas ini, bagaimanapun, adalah tertakluk kepada peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti di LAMPIRAN I yang disertakan.

 

 

Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan mengenai kaedah pembayaran jaminan wang tunai secara beransur-ansur ini serta lain-lain perkara yang berkaitan dengan perlaksanaan Perintah Agensi Pekerjaan 2004 bolehlah diperolehi pada waktu-waktu bekerja melalui:
Unit Agensi Pekerjaan
Bahagian Piawaian Perburuhan dan Agensi Pekerjaan,
Tingkat 4, Jabatan Buruh
Tel: 2383006 ext 4416

Sekian disampaikan.

“Perkhidmatan Berasaskan Kesabaran dan Keyakinan”
“Akhlak Mulia, Kehidupan Sempurna”

Dengan hormat,

 

( AWANG RAMLEE BIN HAJI JAMUDIN )
Pemangku Pesuruhjaya Buruh
Negara Brunei Darussalam

Tarikh: 27 Safar 1433/ 21 Januari 2012
Rujukan Kami: PJB/2004/4/2 J.2

s.k.:
Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

 

Lampiran 1

PEMBAYARAN JAMINAN WANG TUNAI (SECURITY CASH DEPOSIT)
SECARA BERANSUR-ANSUR.


Peraturan dan syarat-syarat:

1. Pertimbangan ini adalah pertimbangan khas khusus kepada individu-individu tertentu sahaja iaitu individu yang bergiat dalam menguruskan tenaga kerja asing sebelum Perintah Agensi Pekerjaan 2004 dilaksanakan sepenuhnya pada 01 Januari 2012 lalu.

2. Pilihan ini dibukakan untuk pendaftaran selama 3 bulan sahaja bermula pada tarikh Surat Pemberitahuan Jabatan Buruh Bil 01/2012 dikeluarkan.

3. Pembayaran beransur-ansur hanya boleh dibuat dalam tempoh 4 kali sahaja sepanjang 12 bulan. Sekiranya pemohon gagal menjelaskan pembayaran minima jaminan wang tunai mengikut tempoh yang ditetapkan (setiap satu tempoh adalah selama 3 bulan), Kad Wakil Sementara bagi tempoh selanjutnya tidak akan dikeluarkan melainkan tunggakan pembayaran minima bagi tempoh sebelumnya itu berserta dengan pembayaran bagi tempoh berikutnya telah dijelaskan sepenuhnya terlebih dahulu.

4. Kaedah bayaran secara beransur-ansur ini mestilah dijelaskan sepenuhnya pada bulan ke 12. Pembayaran tidak boleh disambung setelah tamatnya tempoh 12 bulan tersebut.

5. Kadar minima jaminan wang tunai yang perlu dibayar pada setiap satu tempoh adalah tidak kurang daripada 25% daripada jumlah keseluruhan bagi setiap kategori lesen seperti di bawah:

BIL

KATEGORI LESEN

KADAR KESELURUHAN JAMINAN WANG TUNAI

KADAR PEMBAYARAN BAGI SETIAP 3 BULAN

1.

A : Persendirian
*(Sila Rujuk Rajah 1)

$10,000

$2,500

2.

B : Syarikat
*(Sila Rujuk Rajah 2)

$15,000

$3,750

3.

C : Gabungan A & B
*(Sila Rujuk Rajah 3)

$20,000

$5,000

* Contoh pengiraan kadar pembayaran serta penggunaan Kad Wakil Sementara.

6. Tempoh lesen agensi pekerjaan yang diberikan adalah masih tetap selama 24 bulan. Lesen akan dikeluarkan sebaik sahaja pemohon membuat pembayaran pada kadar 25% daripada jaminan wang tunai yang ditetapkan mengikut kategori lesen.

7. Kad Wakil Sementara akan diberikan mengikut kadar pembayaran yang telah dijelaskan. Sekiranya pemohon gagal menjelaskan mengikut tempoh-tempoh yang telah ditentukan, kad wakil sementara tidak akan disambung.

8. Kad Wakil Sementara diberikan kepada pemilik syarikat sahaja (tidak diberikan kepada pekerja yang diambil berkhidmat, jika ada).

9. Peraturan-peraturan dan syarat-syarat lain adalah sama seperti pemohon-pemohon yang lain seperti diperlukan untuk menubuhkan syarikat berdaftar, mempunyai ofis / pejabat serta lulus tapisan keselamatan.


Muat Turun:
1: Surat Pemberitahuan
2: Lampiran

 

 


SURAT PEMBERITAHUAN
JABATAN BURUH
KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI


BILANGAN: 04/2011

 

Kepada:
Semua Pengurus-Pengurus dan para Majikan
bagi Syarikat-Syarikat, Firma-Firma,
Gedung-gedung perniagaan, 
Agensi-agensi tenaga kerja,
Individu-individu persendirian yang menguruskan
tenaga kerja asing serta orang ramai
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Per:   PERINTAH AGENSI PEKERJAAN 2004

 

Dengan hormat sukacita merujuk perkara yang tersebut di atas.

Selaras dengan kehendak Bab 6 (i) dibawah Perintah Agensi Pekerjaan, 2004 yang mengkehendaki supaya kegiatan agensi pekerjaan untuk dilesenkan, dan seterusnya bagi mempastikan kehendak ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya maka dengan ini dimaklumkan bahawa bermula pada 01 Januari, 2012 akan datang, Jabatan Buruh tidaklah lagi akan menerima bagi mana-mana permohonan yang berkaitan dengan pengambilan pekerja asing yang dihadapkan atau diuruskan oleh syarikat-syarikat agensi tenaga kerja atau individu-individu persendirian yang tidak memiliki lesen bagi menjalankan kegiatan agensi pekerjaan yang dikeluarkan oleh Jabatan ini.

Semua urusan yang berkaitan dengan pengambilan pekerja asing dengan itu dimestikan untuk diuruskan oleh agensi-agensi tenaga kerja yang berlesen sahaja.  Walaubagaimanapun dalam beberapa urusan tertentu, majikan dibolehkan untuk memilih sama ada untuk menguruskan sendiri atau melalui agensi pekerjaan yang berlesen.  Secara ringkasnya pengurusan tenaga pekerja asing hendaklah dikendalikan seperti berikut:

 

Urusan yang mesti dikendalikan melalui Agensi Pekerjaan berlesen sahaja

Urusan yang boleh dikendalikan sama ada oleh majikan sendiri atau melalui Agensi Pekerjaan (berlesen)

  •  

Pengambilan amah baru;

  •  

Permohonan untuk mendapatkan  lesen amah/syarikat (baru, tambahan atau membaharui);

  •  

Pengambilan pekerja syarikat yang baru (BUR500)

  •  

Permohonan untuk menyambung kontrak amah atau pekerja syarikat (BUR555) yang sudah diambil berkhidmat sebelum ini;

 

 

  •  

Permohonan untuk tukar kontrak amah atau pekerja syarikat;

 

 

  •  

Permohonan untuk membatalkan lesen;

 

 

  •  

Permohonan untuk mengambil kembali wang jaminan tunai;

 

 

  •  

Lain-lain urusan yang se-umpamanya

Permohonan yang dihadapkan/diuruskan oleh orang lain (bukan majikan) atau melalui individu-individu tertentu atau agensi pekerjaan yang tiada memiliki lesen tidaklah akan diterima lagi.

Untuk makluman, menjalankan kegiatan Agensi Pekerjaan tanpa lesen adalah merupakan satu kesalahan dibawah Bab 6 (2) Perintah Agensi Pekerjaan, 2004 dimana kesalahan sedemikian boleh dikenakan denda tidak melebihi $5,000.00 atau penjara dengan tempoh tidak melebihi (1) tahun atau kedua-duanya sekali.  Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh pula dikenakan denda tidak melebihi $10,000.00, penjara tidak melebihi tempoh 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh yang demikian, mana-mana agensi-agensi pekerjaan yang belum memiliki lesen untuk mengendalikan kegiatan tersebut perlulah memohonkan lesen berkenaan dengan segera.  Individu-individu persendirian yang sebelum ini bergiat dalam menguruskan tenaga kerja asing mempunyai 2 pilihan bagi meneruskan kegiatan sedemikian iaitu menubuhkan Syarikat Agensi Pekerjaan yang dimiliki sendiri dan seterusnya mendapatkan lesen untuk menjalankan kegiatan itu, atau mengambil pilihan untuk menjadi tenaga pekerja bagi syarikat agensi pekerjaan yang sudah berlesen.  Syarat-syarat dan keterangan lanjut untuk mendapatkan lesen bagi kegiatan agensi pekerjaan ini bolehlah diperolehi melalui:

Unit Agensi Pekerjaan
Bahagian Piawaian Perburuhan
Tingkat 4, Jabatan Buruh
Tel: 2380256 sambungan: 4416

 

Setiap Syarikat Agensi Pekerjaan yang berkelayakan akan dikenakan bayaran lesen sebanyak $500.00 bagi tempoh (2) tahun, diberikan Sijil Lesen serta Kad Wakil bagi pemilik syarikat dan para pekerja yang berkenaan.  Kad Wakil mestilah digunapakai pada setiap masa dalam mengendalikan urusan berkaitan pekerja asing dengan Jabatan Buruh, dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Senarai nama-nama Syarikat Agensi Pekerjaan yang sudah dikeluarkan lesen bolehlah diperolehi melalui Unit Agensi Pekerjaan di Jabatan Buruh atau menerusi laman sesawang di alamat: buruh.gov.bn. Senarai ini akan di perkemaskinikan dari masa ke semasa.

Sekian disampaikan.

 

Pemangku Pesuruhjaya Buruh
Negara Brunei Darussalam

 

Tarikh: 05 Muharram, 1433 / 01 Disember, 2011
Ruj. Kami: PJB/2004/4/2 J.2

BANCI TAHUNAN MAJIKAN/PEKERJA, KADAR GAJI PENDAPATAN DAN JAM-JAM BEKERJA BAGI TAHUN 2011

Jabatan Buruh melalui Bahagian Kajian dan Perangkaan sukacita memaklumkan kepada semua majikan di Negara Brunei Darussalam bahawa Banci Majikan/ Pekerja, Kadar Gaji Pendapatan Dan Jam-Jam Bekerja bagi tahun 2011 telahpun bermula.

Sehubungan dengan itu, Jabatan ini memohon kerjasama majikan-majikan supaya akan dapat memberikan maklumat-maklumat para pekerja (tempatan dan asing) di bawah tanggungan mereka yang masih berkhidmat sehingga/ pada 30hb Oktober 2011 ini seperti yang diperlukan di dalam Borang Banci Tahunan Majikan/ Pekerja.

Borang-borang mestilah diisikan dengan lengkap dan dihantar berserta dengan salinan lesen buruh (yang berkenaan sahaja) sebelum 30hb November 2011 ke Bahagian Kajian dan Perangkaan ataupun di cawangan Pejabat Buruh di daerah-daerah yang berdekatan pada waktu pejabat. Bagi majikan-majikan yang menggunakan CD-R hendaklah mengembalikannya berserta dengan cetakan borang yang telah lengkap diisikan. Borang-borang yang tidak lengkap tidak akan diterima.

Banci yang dijalankan ini adalah dimestikan kepada semua majikan untuk memberikan maklumat-maklumat para pekerja dibawah tanggungan mereka ke Jabatan Buruh seperti yang telah diperuntukan dibawah Bab 3(1) Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99. Walau bagaimanapun, majikan yang menggaji pekerja asing bagi tujuan perkhidmatan rumahtangga persendirian (amah) adalah dikecualikan daripada banci ini. Manakala Syarikat yang sudah tidak beroperasi atau ditutup hanya dikehendaki untuk memberi makluman bertulis ke Jabatan ini tentang kedudukan berkenaan sebelum tarikh akhir borang dikembalikan.

Oleh yang demikian, mana-mana majikan yang belum lagi mendapat borang hendaklah mendapatkan borang baru banci dengan segera pada waktu pejabat di alamat berikut:

Bahagian Kajian dan Perangkaan
Tingkat 5, Jabatan Buruh
Bangunan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
Jalan Menteri Besar

atau;

Cawangan-Cawangan Pejabat Buruh Daerah

Adalah diingatkan kepada semua majikan bahawa dibawah Bab 8, Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99, barangsiapa yang gagal menghantar maklumat ini sebelum atau pada 30hb November, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak Dua Ribu Lima Ratus Ringgit ($2,500.00) dan penjara enam (6) bulan dan jika ianya berterusan boleh didenda sebanyak Lima Puloh Ringgit ($50.00) sehari.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Bahagian Kajian dan Perangkaan melalui nombor telefon 2383006 samb. 5301/ 5302/ 5303/ 5304 dan 5305.

Link untuk memuat turun BORANG BANCI MAJIKAN/PEKERJA

ANNUAL CENSUS OF EMPLOYERS’/EMPLOYEES’ WAGES, EARNING AND HOURS OF WORK FOR THE YEAR 2011

The Department of Labour through the Research and Statistics Section wishes to inform employers that the annual census of employers and employees on wages, rate of earning and working hours for the year 2011 has started.

In this regard, the department would like to request for the employer’s kind assistance in providing the relevant information of their workers (local and foreign) working under their company until/ as of 30 October 2011 according to what is needed in the Labour Census Form.

All completed forms, must be returned with copy of the license or labour quota ‘for appropriate only’ to the Research and Statistics Section or to any of the Department’s district branches before 30th November 2011. For those who are using the CD-R, it should be returned with a completed forms printout. Incomplete forms will not be accepted.

The annual census of employers and employees under Section 3 (1) of the Employment Information Act 1974, Chapter 99 are required to any employer to submit the particulars and information of their employees to the Labour Department except for those who are employing domestic helpers or ‘amah’. For those companies which have ceased operations or inactive, will only required to inform in writing on the situation of their company before or on the stated date.

Employers who have not obtained their forms are required to collect new format form immediately during office hours at the address below:

Survey and Statistics Division
5th Floor, Labour Department
Immigration and National Registration Building
Jalan Menteri Besar

or;

Labour Department’s District Branches

Under Section 8 of the Employment Information Act 1974, Chapter 99, any employer, who without any lawful excuse, wilfully refuses or neglects to furnish the particulars or information required within the time allowed, if found guilty the penalty will be a fine of B$2,500 and imprisonment for 6 months, and in the event of a continuing offence a further fine of B$50 shall be imposed per day.

For enquiries, please contact Research and Statistics Section, Labour Department at telephone number 2383006 Ext. 5301/ 5302/ 5303/ 5304 and 5305.

EMPLOYERS'/EMPLOYEES CENSUS FORM download link