Pada 06 sehingga 13 November 2021, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh telah meneruskan pemeriksaan ke tempat-tempat kediaman pekerja asing melibatkan sebanyak 17 buah syarikat dan 41 buah tempat kediaman.
Objektif pemeriksaan adalah untuk menguatkuasakan Undang-Undang di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 khususnya di bawah Bab 80 (a,b dan c) dan Bab 81 (1 dan 2) yang menyatakan kewajipan majikan menyediakan bagi pekerja-pekerjanya tempat kediaman yang bersih, selesa dan selamat, dan pembinaan serta penyelenggaraan mana-mana bangunan atau tempat kediaman pekerja yang digunakan hendaklah mematuhi kehendak Undang-Undang bertulis yang lain.
Pada masa yang sama, pemeriksaan juga bertujuan untuk memastikan tempat kediaman pekerja adalah selaras dan mengikut standard minima garispanduan piawaian perumahan yang telah
dikeluarkan oleh Jabatan Buruh. Sebagai contoh, majikan hendaklah menyediakan tempat
kediaman pekerja asing yang tidak padat dan lebih muatan. Selain daripada itu, majikan adalah disarankan untuk membuat persediaan tempat tinggal yang berkeupayaan untuk menempatkan pekerja di bilik-bilik berasingan sekiranya terdapat kes-kes positif Covid-19.
Setakat ini, dua buah syarikat telah diarahkan untuk memindahkan pekerja-pekerjanya ke tempat yang memenuhi piawaian minima perumahan khususnya mempunyai kapasiti bilik-bilik yang boleh menampung jumlah pekerja yang sedia ada dan di tempat yang dibenarkan sahaja.
Kegagalan mematuhi kehendak dibawah Bab 80 (a), (b) dan (c); dan Bab 81 (1) dan (2), Perintah Pekerjaan, 2009 ini boleh diambil tindakan denda kompaun sebanyak $600.00 bagi kesalahan pertama dan $900.00 bagi kesalahan kedua; manakala kesalahan seterusnya dikenakan tindakan pendakwaan seperti kehendak Bab 148 iaitu jika sabit kesalahan didenda tidak lebih $3000.00, Penjara tidak lebih satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya akan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan dan keberadaan pekerja mereka menurut kehendak Perintah Pekerjaan, 2009. Dalam membantu usaha kerajaan untuk mencegah dan membendung penularan wabak ini, maka para majikan hendaklah lebih bertanggungiawab terhadap tempat penginapan dan kesejahteraan pekerja masing-masing.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
JABATAN BURUH
KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
20 NOVEMBER 2021