Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan tinjauan ke kawasan-kawasan perumahan pekerja asing di Daerah Brunei Muara hari ini.
Rombongan disertai oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pesuruhjaya Buruh dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Buruh.
Tinjauan memfokuskan kepada beberapa jenis kediaman pekerja-pekerja iaitu dormitori, komersial dan jua kediaman persendirian yang di sewa.
Objektif utama tinjauan ini adalah untuk melihat dengan lebih jelas kediaman pekerja-pekerja asing pada memastikan ianya selaras dengan keperluan minima garispanduan piawaian perumahan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Buruh termasuklah juga pematuhan kepada keperluan penyediaan tempat pengasingan bagi pekerja yang sihat dan yang menjalani Perintah Kurantin (Qurantine Order, QO) yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan.
Dalam pada itu, Jabatan Buruh ingin menekankan kepada setiap majikan supaya akan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan dan keberadaan pekerja mereka menurut kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 dan mana-mana perundangan serta peraturan-peraturan pihak Kerajaan yang berkuatkuasa pada masa ini bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang di ambil ke atas mereka atau pekerja masing-masing.
Bagi sebarang aduan atau penyaluran maklumat, orang ramai bolehlah berhubung terus ke Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Negara Brunei Darussalam
26 Jamadilakhir 1443H | 29 Januari 2022M