Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Sejahtera 23/2022 di kawasan Kampung Sengkurong dan Kampung Mulaut pada 05 April 2022, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan. Semasa operasi tersebut Jabatan telah menjalankan pemeriksaan ke atas dua kegiatan iaitu kegiatan mencuci kereta dan restoran di kawasan Kampung Sengkurong dan Kampong Mulaut. Hasil dari pemeriksaan berkenaan telah mendapati perlanggaran syarat – syarat lesen pekerja asing di bawah Bab 112, Perintah Pekerjaan 2009, iaitu majikan menyalahgunakan jawatan pekerja asing yang mana ianya bertentangan dengan jawatan di dalam Lesen Pekerja Asing yang dibenarkan oleh Pesuruhjaya Buruh.
Seramai tiga orang pekerja asing telah didapati melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan jawatan sah mereka, iaitu pekerja-pekerja berjawatan Buruh Am diarahkan membuat pekerjaan mencuci kereta. Jika sabit kesalahan majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600.00 bagi kesalahan pertama dan $900.00 bagi kesalahan kedua.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada para majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing atau melanggar peraturan di bawah Perintah Pekerjaan 2009. Disamping itu majikan hendaklah sentiasa memantau
hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan secara bertulis,pembayaran gaji tepat pada waktunya, dan pembayaran lebih masa.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
Jabatan Buruh,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
09 April 2022