Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Sejahtera 117/2022 di Kampung Muara pada 15 Ogos 2022, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan ke atas kegiatan kedai runcit di kawasan Kampung Muara telah mendapati seramai 2 orang pekerja asing melakukan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009. Mereka yang berjawatan sebagai buruh binaan dan buruh kedai didapati melakukan pekerjaan sebagai juruwang. Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600.00 bagi kesalahan pertama dan $900.00 bagi kesalahan kedua.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya. Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
Jabatan Buruh,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
15 Ogos 2022