Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

BERCEMAR DULI TINJAU PERKEMBANGAN JABATAN IMIGRESEN DAN PENDAFTARAN KEBANGSAAN DAN JABATAN BURUH

panji2_highlights.jpg

Isnin, 17 Safar 1441 / 05 Oktober 2020

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh di Jalan Menteri Besar.


Semasa keberangkatan lawatan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa Jabatan Buruh dan JIPK merupakan antara agensi-agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam mengendalikan perkara-perkara perlesenan dan visa, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal imigresen dan pendaftaran kebangsaan.


Sehubungan itu, pihak pengurusan dan pentadbiran kedua-dua jabatan disarankan melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan iman dan amanah serta mengelak penyelewengan.


"Kita sedia menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab dua buah jabatan ini, memanglah berat dan mencabar, namun tugas dan tanggungjawab berat, tidaklah bererti, ia tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.


"Adapun jenis kerja yang sukar atau tanggungjawab besar itu, akan dapat saja dilaksanakan oleh tenaga manusia yang berkualiti. Tetapi kualiti itu di sini, bukanlah setakat yang bernama kemahiran, bahkan, turut juga lebih diperlukan ialah kualiti yang namanya iman dan amanah dalam melaksanakan satu-satu tugas," tegas Baginda.


"Jika iman dan amanah itu menjadi pakaian nescaya pemakaiannya akan menghasilkan segala kebaikan. Kerana itu ingin Beta melihat supaya kualiti seperti ini akan menjadi pakaian konsisten bagi pegawai dan kakitangan di dua buah jabatan ini.


"Beta amat mengingini supaya perkara-perkara yang tidak wajar dilakukan, janganlah ia dilakukan dalam pengurusan dan pentadbiran oleh dua buah jabatan ini.

 

"Misalnya, sangat tidak elok untuk didengar isu kebanjiran tidak terkawal pekerja-pekerja asing di negara ini. Mengapa ia harus berlaku? Sedang dua jabatan, buruh dan imigresen mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk mengawalnya. Ada andaian, perkara ini mungkin berpunca daripada pengendalian dan pemberian kebenaran Lesen Pekerja Asing (LPA) dan visa pekerja yang tidak betul."

 

"Tidak betul itu di sini termasuklah penyalahgunaan kuasa ketika mengurusakan urusan-urusan warga asing serta keterlibatan agensi-agensi freelance yang tidak berdaftar. Sangat lumrah didengar mengenai ejen ini. Disamping ejen-ejen berdaftar yang sah di sisi undang-undang ada juga turut muncul ejen-ejen freelance yang tidak berdaftar. Khabar-khabarnya layanan kepada dua-dua ejen ini didapati tidak sama.

 

Tekan Baginda, layanan kepada ejen-ejen berdaftar ini didapati sering sahaja dirumitkan, meskipun mereka membayar deposit sehingga puluhan ribu, membayar lesen tahunan, sewa pejabat dan gaji pekerja, manakala ejen-ejen freelance walaupun tidak berdaftar tetapi mereka mendapat layanan istimewa ketika berurusan. Disebabkan itu, ejen-ejen freelance ini lebih disukai syarikat-syarikat asing kepunyaan orang luar kerana mereka ini dengan mudah dan cepat dapat membuat urusan di imigresen dan buruh.

 

Baginda memberi contoh, "Kalau ejen rasmi membuat urusan passport, mengambil masa dua minggu baru siap, tetapi jika ejen freelance, cuma dua hari sahaja. Ini jika benar, ternyata ia adalah satu penyelewengan ketara. Mengapakah perkara ini boleh berlaku?"

 

Baginda seterusnya bertitah, "Turut juga didengar perkara seperti ini telah pun pernah diadukan kepada pihak berkenaan kementerian tetapi hasilnya tidak diketahui dengan jelas.

 

"Sepatutnya semua urusan mengenai pekerja asing mesti dibuat oleh agensi berdaftar bagi mengelakkan penyelewengan daripada berlaku, seperti orang mungkin sahaja mengusahakan visa-visa palsu dan seumpamanya. Bagaimanakah visa palsu itu boleh didapat jika bukan dengan kerjasama pihak-pihak tertentu.

 

"Timbul persoalan di sini bagaimanakah kad-kad palsu itu boleh dibuat atau dihasilkan jika bukan dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan. Perlu diingat sebagai amaran bahawa memalsukan dokumen atau apa sahaja pemalsuan, adalah ia satu perkara serius yang tidak dapat dipandang ringan. Kita sama sekali tidak berkompromi dengannya kerana ia adalah antara jenayah yang sangat keji dan memalukan bahkan boleh menjejaskan keselamatan.

"Beta ingin menekankan di sini, semua pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan misi dan visi jabatan, hendaklah melaksanakannya dengan telus dan bersungguh-sungguh.

 

"Semua prosedur dan tatacara kerja hendaklah dijalankan secara berhemah dan menepati sasaran, elakkan dari mengadakan lapisan-lapisan untuk dilalui sehingga mengambil masa yang lama."

 

"Misalnya, aliran kerja untuk mendapatkan LPA di Jabatan Buruh perlu melalui 23 lapisan dan melibatkan lebih daripada 10 orang pegawai dan kakitangan . Kalau inilah bentuk prosedur dan tatacara yang mesti dilalui, tidakkah ini boleh menjejaskan operasi sesebuah syarikat pemohon sehingga tidak pelik, kalau ada syarikat sanggup mengambil jalan mudah menawarkan suapan," tegas Baginda.

 

Baginda juga tidak mahu pengurusan hanya bagus pada teori sahaja seperti sistem Lesen Pekerja Asing (LPA) yang dikatakan sebagai hasil kemas kini ke atas proses yang digunakan sebelum ini yang memakan tempoh pada 41 hari dan dengan wujudnya LPA hanya akan mengambil masa tujuh hari sahaja tetapi kemampuan Jabatan Buruh untuk menepati tempoh berkenaan, dilihat tidak menjadi kenyataan.

 

"Di samping khidmat menunaikan misi, menyediakan kemudahan-kemudahan dan persekitaran yang selamat bagi pekerja, pihak-pihak berkenaan juga perlu tegas dalam melaksanakan tuntutan akta dan peraturan mengenainya.

 

"Kita tidak boleh leka dari memantau dan mengambil tindakan terhadap sesiapa jua pun yang menyalahi undang-undang atau peraturan yang dianggap sebagai melakukan kesalahan di bawah akta atau peraturan buruh dan imigresen.

 

Baginda Sultan turut membangkitkan perkara mecurigakan seperti pasar-pasar ikan, sayur dan buah-buahan yang kebanyakannya seolah-olah dimonopoli oleh pekerja asing atau peniaga luar negara.

 

"Apakah jenis lesen yang mereka ada atau adakah mereka misalnya pemegang lesen buruh binaan atau amah pembantu rumah tetapi dijadikan oleh majikan masing-masing sebagai nelayan atau penjual ikan dan sebagai peniaga sayur dan buah-buahan.

 

"Kalau inilah yang betul berlaku, maka tentu saja ia menyalahi akta dan peraturan. Tetapi hakikatnya ia sudah pun berlaku sekian lama. Adakah perkara ini telah ditangani berdasarkan akta dan peraturan ataupun hanya dibiarkan begitu sahaja," soal Baginda.


Baginda turut mengambil maklum bahawa operasi pernah dibuat oleh bahagian penguatkuasa undang-undang Jabtan Buruh dan JIPK, mereka dalam opersai tersebut ada yang berjaya mencekup beberapa individu yang menyalahgunakan lesen pekerja dan pas imigresen.

 

"Ini sudah bagus tetapi adakah langkah atau tindakan seperti ini dilakukan secara konsisten dan menyeluruh. Beta ingin melihat jika ada laporan mengenainya secara berfakta, " tekan baginda.

 

Semasa keberangkatan lawatan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan meninjau dengan lebih dekat beberapa bahagian dan unit di bawah kedua-dua jabatan.

05102020_1.PNG05102020_2.PNG05102020_3.PNG

Attachments
Created at 29/10/2020 09:02 by Siti Samiah binti Haji Ismail
Last modified at 05/11/2020 09:07 by Siti Samiah binti Haji Ismail
-