Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

SIARAN AKHBAR PEMERIKSAAN JABATAN BURUH KE TEMPAT KEDIAMAN PEKERJA ASING



Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh meneruskan lagi pemeriksaan ke tempat-tempat kediaman pekerja asing melibatkan sebanyak 70 buah syarikat dan 185 buah tempat kediaman pada 15 November sehingga 02 Disember 2021.

Objektif pemeriksaan adalah untuk menguatkuasakan Undang-Undang di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 khususnya di bawah Bab 80 (a,b dan c) dan Bab 81 (1 dan 2) yang menyatakan kewajipan majikan untuk menyediakan pekerja-pekerjanya tempat kediaman yang bersih, selesa dan selamat, dan pembinaan serta penyelenggaraan mana-mana bangunan atau tempat kediaman pekerja yang digunakan mematuhi kehendak Undang-Undang bertulis yang lain.

Pada masa yang sama, pemeriksaan juga bertujuan untuk mempastikan tempat kediaman pekerja adalah selaras dan mengikut standard minima garispanduan piawaian perumahan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, termasuklah menyediakan tempat kediaman pekerja asing yang tidak padat dan lebih muatan.

Hasil pemeriksaan mendapati tiga buah syarikat telah diberikan amaran kerana tahap tempat tinggal pekerja adalah tidak memuaskan dari segi kebersihan dan pendawaian elektrik yang tidak teratur dan kurang selamat. Syarikat-syarikat ini telah diarahkan untuk membersihkan kawasan luar dan dalam tempat tinggal pekerja agar ianya lebih selesa serta selamat untuk didiami oleh pekerja.

Kegagalan mematuhi kehendak dibawah Bab 80 (a), (b) dan (c); dan Bab 81 (1) dan (2), Perintah Pekerjaan, 2009 ini boleh diambil tindakan denda kompaun sebanyak $600.00 bagi kesalahan pertama dan $900.00 bagi kesalahan kedua; manakala kesalahan seterusnya dikenakan tindakan pendakwaan seperti kehendak Bab 148 iaitu jika sabit kesalahan didenda tidak lebih $3000.00, Penjara tidak lebih satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya akan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan dan keberadaan pekerja mereka menurut kehendak Perintah Pekerjaan, 2009. Dalam membantu usaha kerajaan untuk mencegah dan membendung penularan wabak ini, maka para majikan hendaklah lebih bertanggungiawab terhadap tempat penginapan dan kesejahteraan pekerja masing-masing.

Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

JABATAN BURUH
KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
04 DISEMBER 2021


Attachments
Created at 06/12/2021 10:11 by Ahmad Asyraf Alwi bin Haji Abdul Halid/Abdul Khaliq
Last modified at 09/02/2022 09:45 by Siti Samiah binti Haji Ismail
-